Tuan Pengetua,
Mesyuarat
 tergempar dipanggil pada petang itu. Maka terpaksalah saya memohon cuti
 daripada anda, kerana sememangnya saya tidak dapat menghadiri mesyuarat
 itu. Anda tanyakan saya, ke mana saya pergi? Malah mengatakan bahawa 
keesokannya Sabtu, ke mana saya nak pergi sehingga tergesa-gesa pula? 
Saya berdolak-dalih. Saya berkata saya telah memohon cuti lebih awal 
lagi, dan anda telah luluskan. Anda tidak mendesak lagi. Namun saya 
telah merancang dalam hati saya. Seandainya secara terus-terang anda 
tanya, adakah saya menghadiri BERSIH 3.0, saya akan mengakui secara 
jujur.
Tuan pengetua, saya telah memohon cuti pada 5 April. Dalam
 borang permohonan cuti, saya mengisi "urusan peribadi". Mungkin anda 
tidak akan mengaitkannya dengan BERSIH. Sememangnya ia adalah urusan 
peribadi. Dan ia juga hal negara yang mustahak. Bukankah pihak sekolah 
suka berkongsi teori Maslow dengan pelajar? Ya, saya mempunyai keperluan
 sosial saya. Malah saya mahu merealisasikan diri saya. Pada saat-saat 
yang genting ini, sememangnya saya tidak sanggup mengurung diri saya di 
sekolah hanya kerana mahu mengajar pada hari itu. Sememangnya saya tidak
 sanggup untuk berkongsi dengan pelajar saya, apa itu BERSIH, dan 
kemudiannya, kembali duduk di depan komputer dan mengalirkan air mata 
saya, setelah melepaskan ketidakpuasan.
Tuan Pengetua, tahukah 
anda? Setiap hari, kita bekerja dalam keadaan yang sejahtera di sekolah,
 berulang-alik dari bilik guru ke bilik darjah. Pelajar bersopan-santun 
di depan kita. Suasana sekolah aman dan sentosa. Sebagai seorang guru, 
saya memilih untuk ke jalan raya pada hari ini. Tak takut saya kepada 
mentari yang terik mahupun hujan yang lebat. Tak gentar saya berdepan 
dengan gas pemedih mata dan meriam air berkimia. Tak takut juga andainya
 saya ditangkap polis... Namun saya takut pula untuk memaklumkan anda 
bahawa saya nak hadir perhimpunan BERSIH 3.0. Ini kerana saya takut anda
 tidak meluluskan pemohonan cuti saya. Bukankah ia sesuatu yang 
memilukan? Mengapa saya anggap anda tidak benarkan? Kerana anda mungkin 
tidak faham betapa besar maknanya keputusan ini untuk diri saya.
Negara kita sudah jatuh sakit. Saya tidak mahu melihatnya sakit tenat, sehingga tidak terubat...
Saya
 tidak mahu mendidik anak murid saya untuk cintai bumi ini, buatlah 
kerja untuk menjaga alam ini, meleter ini dan itu - tetapi tercengang 
menatap pembinaan kilang Lynas di tanahair kita. Saya tidak mahu 
menjelaskan apa itu "melayan nyawa manusia bagai lalang" (peribahasa 
cina), namun saya gagal menjelaskan kepada pelajar saya bagaimana Teoh 
Beng Hock menemui ajal. Saya tidak mahu berkuliah, mengajar apakah 
keistimewaan yang ada dengan bangunan bersejarah di negara kita, tetapi 
saya perlu membaca al-fatihah untuk Jalan Sultan yang mungkin 
dirobohkan.
Saya tidak mahu hanya meminta pelajar kita untuk 
menyanyi lagu Negaraku, berulang-kali di perhimpunan mingguan - sebagai 
tanda hormat dan cinta kepada negara, tetapi tiada cara lain untuk saya 
membuktikan bahawa ini negara saya, mengapa perlu saya mencintainya? 
Banyak persoalan yang tidak berani saya jawab secara terus apabila 
diajukan pelajar. Banyak peristiwa yang berlaku di negara kita, dan 
nilai yang kami pegang amat berbeza. Tiada gunanya kita mengajar banyak 
tanpa sebuah negara yang bersih. Semakin banyak kita mengajar, anak 
murid kita akan membalas, "Kau bohong!" Jadi, saya mesti menyumbang apa 
yang mampu, meskipun sikit tetapi bermakna. Jangan kita tunggu sehingga 
berambut putih, barulah kita menyesal tanpa boleh berbuat apa-apa. Tuan 
pengetua, saya tidak mahu lagi mendidik anak murid kita dengan teladan 
yang negatif.
Tuan pengetua, bukankah aktiviti yang bermakna 
seharusnya digalakkan? Kitar semula bahan buangan, menghiasi dinding 
rumah orang tua, menyambut Hari Kanak-Kanak di rumah anak yatim... 
Bukankah kita sering menggalakkan agar anak murid kita bergiat aktif 
untuk menyertai aktiviti yang bermakna? Mengkayakan pengalaman hidup 
kita, belajar untuk berbakti. Lebih baik jika ibu bapa hadir bersama 
anak-anak dalam aktiviti sedemikian.
Saya juga terserempak dengan
 ibu bapa di tempat berhimpun. Mereka mendidik anak dengan jasad dan 
jiwa mereka tentang apa itu keadilan. Sememangnya tiada alasan untuk 
kita melarang mereka daripada memohon cuti untuk hadir. Hanya satu hari 
kita tidak belajar di sekolah, biar kita keluar sekolah - belajar 
sesuatu yang tidak dapat diajar guru. Semestinya pengalaman itu akan 
memahat di hati sepanjang hayat mereka.
Saya berharap agar anda 
juga sama seperti tuan pengetua sekolah lain, menyeru guru membeli baju 
kuning untuk menyokong pilihan raya yang bersih. Saya berharap anda 
boleh turun ke jalan raya sebagaimana yang dilakukan pengetua sekolah 
lain.
Saya lebih berharap anda mengumumkan cuti satu hari, 
memberi kelapangan kepada guru dan pelajar untuk memilih agar turun ke 
jalan raya pada saat-saat yang bersejarah ini. Namun, jelas, saya 
terlebih fikir. Untuk puluhan tahun pendidikan Cina ditindas, kita cuba 
berdikari, tabah untuk berdepan dengan situasi yang sukar ini. Namun 
selama ini kita hanya menjerit, kita menuntut sijil peperiksaan sekolah 
menengah Cina swasta diiktiraf, menginstitusikan peruntukan dana kepada 
sekolah Cina. Jeritan tetap jeritan selepas puluhan tahun. Seandainya 
kita tidak mempunyai pilihan raya yang bersih, tiada satu kerajaan yang 
akur kepada suara rakyat - mereka tidak akan mendengar meskipun betapa 
lantang kita menjerit...
Tuan pengetua, saya akan menebus kelas 
yang dilapangkan kerana cuti saya. Jangan bimbang. Tetapi seandainya 
saya tidak turun ke jalan raya kali ini, saya rasa untuk seumur hidup 
saya tidak dapat menebusnya. Akhir kata, saya merakamkan penghargaan 
kerana anda meluluskan permohonan cuti saya. -MR
*Surat ini 
ditulis oleh seorang guru sekolah menengah Cina, Kathy Kee dan disiarkan
 melalui Facebook. Diterjemah dengan keizinan daripada penulis
 http://sharpshooterblogger.blogspot.com


 
 
 
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih untuk komen bernas anda :)