Sumber: http://puteraazhari.blogspot.com/
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!” (Hadith Riwayat Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!” (Hadith Riwayat Tirmidzi)
Berbuat baiklah kepada setiap insan, sesama manusia,  tidak kira siapa kita dan ianya melatih diri bermula dari peringkat  institusi keluarga lagi. Dalam segala kualiti yang boleh diukur pada  jati diri seorang muslim, manusia yang dianggap terbaik oleh seorang  Nabi, utusan Allah, adalah manusia mukmin yang berlaku baik kepada  keluarganya.
Kebaikan adalah lawan setiap kejahatan, keburukan,  atau kekurangan. Baik dalam erti kata sabar, ikhlas dan redha dalam  menangani segala masalah, dugaan yang mendatang dalam melayari kehidupan  yang fana ini. Setiap sesuatu yang terjadi di dalam kehidupan ini  adalah atas ketentuan-Nya bagi menguji kesabaran dan keikhlasan kita  kepada tujuan hidup utama sebelum mati. Mati bererti berhenti, henti  dari menikmati dan mengecapi kehidupan sebagai hamba-Nya yang sentiasa  diuji.
Manusia yang sekeras batu pun hatinya, pasti akan lentur  lembut dengan kebaikan. Batu yang mengalir padanya air walaupun setitis  demi setitis akan terhakis sedikit demi sedikit sifat kerasnya. Jangan  batu dibalas batu, nanti berkecai jadinya, harus ada sifat sabar.
Isteri  dan anak adalah amanah yang mesti dipelihara dengan baik. Kesilapan dan  kekurangan mereka hendaklah dipantau. Hubungan yang kukuh di antara  imam dan makmum, membolehkan proses membetulkan itu dilakukan dengan  baik oleh imam.
Begitulah perihalnya dengan bapa atau suami  dengan isteri dan anaknya. Mulakan kewajipan membetul itu dengan membina  hubungan terlebih dahulu. Sebagaimana jemaah menolak untuk dipimpin  oleh imam yang dibenci, begitu jugalah isteri dan anak akan menolak  nasihat dari seorang lelaki ‘asing’ bernama suami dan ayah.
Tugas  mendidik, mengurus rumahtangga, dan menyiapkan rohani anak-anak bukan  sahaja terletak pada bahu si isteri sahaja, tapi suami yang lebih daya  kekuatan berbanding perempuan. Ramai lelaki terlepas pandang perkara ini  kerana alas an sibuk.
Bila kita tengok zaman sebelum 70-an atau  80-an, memang kebanyakan wanita adalah suri rumah sepenuh masa. Kaum  lelaki merupakan satu-satunya sumber kewangan keluarga. Masa itu mungkin  susah benar kita hendak dengar suami tolong buat kerja rumah apatah  lagi turun ke dapur.
Namun keadaan telah berubah di atas faktor  pendidikan, sosio-ekonomi dan politik, wanita telah terjun ke bidang  pekerjaan masing-masing. Malah ada di antara mereka yang menerajui  sumber kewangan keluarga. Namun begitu, wanita tetap setia dengan kerja  rumah dan dapur. Para suami masih lagi ditermakan sebagai membantu  isteri di rumah dan bukannya isteri yang membantu suami.
Adakah  memang fitrah wanita itu dijadikan untuk menguruskan rumah, memasak,  menyidai kain dan sebagainya? Manakala lelaki pula hanya diciptakan  untuk bekerja atau cari nafkah keluarga semata-mata?
Dari zaman  Nabawiyah lagi wanita sudah menjadi usahawan yang berjaya, berperang  bersama lelaki di medan perang dan menjadi ahli ilmu dan periwayat  hadith. Oleh itu, tidak tepat untuk mengatakan kaum Hawa telah  berevolusi untuk mampu melakukan apa yang tidak mampu dilakukan sebelum  ini. Soal kemampuan dan pencapaian wanita dalam mana-mana masyarakat  harus dilihat dan dibincangkan berdasarkan latar masa dan sejarah  masyarakat ketika itu.
Dalam konteks Malaysia, bukankah dari dulu  lagi lelaki dan wanita sudah bekerja bersama-sama di sawah-sawah padi  dan bendang. Ibu-ibu juga menjadi pendidik dengan mengajar anak-anak  agama dan mengaji. Semua ini sesuai dengan keadaan sosio-ekonomi  masyarakat waktu dahulu berdasarkan pertanian dan unit-unit sosial yang  tertumpu di kampung dan luar bandar.
Tidak timbul polemik pada  zaman itu tentang wanita yang merasakan hidup mereka ditekan dan peluang  untuk mengembangkan potensi diri mereka disekat. Struktur sosial yang  sedia ada cukup mencapai tujuan sosial dan permintaan ekonomi waktu itu.
Zaman  telah berubah, dan wanita hari ini memainkan peranan yang berbeza dalam  sebuah negara yang demokratik dan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.  Seharusnya tidak timbul masalah tentang penyertaan wanita dalam  kemajuan masyarakat kerana hak-hak mereka dalam pendidikan, pemilikan  harta dan hak di sisi undang-undang semuanya dijamin dan dipertahankan  oleh Islam.
Masalah dan polemik yang timbul selalunya berkisar  tentang sejauh mana penyertaan wanita dalam ekonomi memberi kesan kepada  keluarga dan anak-anak, bagaimana wanita membahagikan masa antara  kerjaya dan anak-anak di rumah, dan sebagainya. Terpulang kepada wanita  itu untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini.


0 comments:
Post a Comment
Terima kasih untuk komen bernas anda :)