Search This Blog

Friday 11 June 2010

Nilai Cinta Seorang Suami


"Mata penulis tajam memerhatikan dengan penuh pengamatan bangunan peninggalan sejarah itu dengan mata berkaca-kaca. Boleh dikatakan setiap hari penulis akan mendatangi satu corok laluan berpagi-pagian untuk mencari mutiara-mutiara berharga di persisiran mahligai terunggul di rantau ini. Semenjak berpindah ke rumah baru,penulis tidak lagi perlu bersusah payah memerah keringat menunggu, berhempit-hempit,dan berpanasan di dalam bas kerana jarak dari rumah ke universiti hanya mengambil masa sepuluh minit perjalanan. Kalau hendak diikutkan mungkin ada sahaja mereka yang pantas memberi alasan;

“Masih jauh tu”

“Ala naik bas bukannya mahal sangat pun,dengan mata wang mesir ni”

“Tidak mengapalah, enta jalanlah dulu ana ikut dari belakang”

Namun keindahan setiap jalanan di angkasa lukisan arca bagunannya tidak tumpah seperti sebuah kota lama yang masih segar, kaki memancu gagah melangkah ke hadapan, saban hari setiap waktu dan ketika laluan ini, bumi kota lama ini tidak pernah sirna dari derapan bunyian ribuan kaki melangkah, berlari-lari anak,dan hentakkan kuat deruman enjin tua. Suara-suara dari segala sesuatu meruak-ruak dalam gelombang besar dan tersuling ke liang-liang bisikan setiap yang melaluinya. Kali ini,penulis merasakan ada sedikit kelainan yang bermain di jiwa,seakan-akan telah mengajak penulis mengukir bait sebagai pahatan kenangan di setiap dinding bangunan unik itu. Penulis hampir tertewas pada lamunan kecil iblis bermain hebat di pancaindera, seolah-olah berada pada kurun tapak bangunan ini ditegakkan;

“Eerm,mungkin sudah hampir ratusan tahun”Bibit hati penulis sambil cuba mencari kepastian kalau ada catatan usang yang bertarikh pada deretan bangunan ini.

“Kenapa kali ini hati aku tertewas pada polimik seni bina bangunan?”

“Apakah sebelum ini aku tidak pernah melalui dicelah-celah batu-batu yang berkotak lebih indah dan lebih canggih dari ini?” Penulis terkesima hebat sambil mata bagaikan melekat kuat pada batu-batu tersusun rapi itu.

Lamunan hati penulis mati seketika dek terdengar dari dekat laungan azan muazin berteriak lantang. Hati penulis tergerak untuk mencari kebenaran disebalik tilikan tidak bertauliah sebentar tadi, mana tahu mungkin ada siapa-siapa yang lebih tahu tentang sejarah bangunan dan tembok besar yang masih tersisa di luar sana. Kaki penulis bergerak terancang seiring rabaan mata menguyu mencari dari mana arah azan itu berkumandang. Sambil berjalan telinga penulis menangkap kemas suara-suara bel dan paduan nada malakut terkadang-kadang mencair jauh. Penulis menyaksikan pertengkaran di sebelah tempat penulis mengelamun sendu tadi,dua perempuan saling melayan ke arah masing-masing dan seketika mereka ditarik untuk dilepaskan,pakaian rumahan mereka bertebangan terlepas ke udara seperti bulu-bulu yang sangat besar.

Penulis terpesona sekejap dengan adegan-adegan yang tidak berbayar itu,boleh dikatakan sudah menjadi rutin harian orang-orang arab akan berirama keras sesama hanya kerana masalah kecil.Kaki terus memandu tubuh yang semakin mengurus,tiba-tiba mendekat suara serak-serak basah yang muncul dari antah berantah,tapi yang pasti suara itu bukan roh yang tersesat;

“Anak mahu ke mana?”Suara seorang tua arab bertongkat bergerak laju sedikit daripada penulis.

“Pak cik apa khabar?”Wajah penulis menjadi rembulan menatap kasih padanya.

“Saya mahu mencari arah suara azan tadi berkumandang”Jawab penulis tersimpul manis di bibir.

“Pak cik tahu,di mana masjid tu?”Penulis terasa agak malu sedikit,masakan hal sekecil itu tidak bisa diselesaikan.

“Mari nak pak cik tunjukan”

“Pak cik pun mahu ke sana juga”Sambil memegang lembut tangan penulis memimpin ke arah suatu bagunan tersorok kecil dari pandangan.

“Patutlah tak jumpa,di sebalik bangunan rupanya”Penulis membiarkan tangan terus disuluh oleh orang tua arab itu,sambil tersenyum malu.

Baru penulis mengerti bahawa sebuah cinta suci itu,tidak semestinya perlu disaksikan dengan suara yang keluar semata-mata,cinta yang indah tidak perlu mencari sesat,cinta yang bersulam secangkir iman tidak perlu meminta berharap,dan cinta itu tidak perlu dibayar dengan material yang terpancak. Cinta sebenar hanya perlu sedikit pengorbanan dan pengertian disebalik tembok kukuh yang pernah dibina oleh Nabi Adam a.s dan Nabi Yusof a.s suatu ketika dahulu bersama pasangan masing-masing. Rasa kagum pada lukisan ukiran bangunan dan keseniannya juga merupakan cabang-cabang cinta yang lahir secara ikhlas sepersis mawar berduri petanda kasih yang masih belum termiliki. Inilah kejujuran yang pasti,tanpa perlu mencari,dan meraba-raba senuansa ciptaannya oleh Tuhan Maha Mengerti akan keperluan sekalian hamba-Nya.

Pencarian Sebuah Potrait Cinta

Perkahwinan adalah suatu tuntutan dalam Islam. Antara perkara penting sebelum melangkah ke alam pernikahan ialah hal yang berkaitan dengan pencarian pasangan hidup kerana di sinilah cinta suci lagi halal akan dibina, untuk sama-sama merasai susah senang,jatuh bangun sebuah kehidupan berumahtangga demi melihat keperkasaan benteng pertahanan Islam terus kukuh dengan lahirnya zuriat-zuriat sebagai pejuang sebagai mengganti dan kesinambungan para mujahid terdahulu. Rumahtangga tadi sekiranya dibina dengan tapak semaian keimanan, ketakwaan, dan kasih sayang serta dipikul penuh amanah, sudah tentu akan bercambah biak kebahagian dalam melahirkan generasi yang soleh dan solehah serta jauh dari pergolakan amukan jiwa memberontak.

Islam telah menyediakan garis panduan yang lengkap kepada bakal-bakal suami dan isteri di dalam memilih pasangan hidup.

Nabi pernah bersabda;“Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya, dan agamanya. Oleh itu,utamakan wanita beragama nescaya kamu akan beruntung” (Hadith riwayat Muslim)

Apa yang dapat kita fahami, dari maksud hadith di atas ialah ciri-ciri yang paling baik dalam memilih calon bakal isteri iaitu mereka yang mempunyai pengetahuan dan dan beramal dengan ajaran agama. Mungkin pernah terlitas di benak hati kita untuk memiliki gadis yang memahami perasaan dan bersedia menyelami setiap pahit maun hidup seorang suami yang terpaksa berkerja keras dalam memikul amanah yang cukup banyak.

Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam amat menekankan isu ini disebabkan kesannya di dalam kehidupan bermasyarakat dan keharmonian dalam negara adalah amat besar kerana jika isu ini sampai tahap pergaduhan dan penceraian di antara suami dan isteri akan mengakibatkan rumahtangga dan nasib anak-anak terumbang ambing. Jika demikian,bagaimana generasi pelapis negara dapat dilahirkan? Sudah tentu apa yang diharapkan ibarat “bermimpi disiang hari” semata-mata.

Tanggunjawab membentuk rumahtangga yang bahagia dan melahirkan generasi cemerlang amatlah berat.Justeru, keteguhan dalam pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan agar kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran hidup berumahtangga.


Allah Taala berfirman;“Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu adalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah Taala jualah pahala yang besar”el Anfal (8:28)

Sehubungan dengan itu sebagai bakal ibu dan bapa kepada bakal anak-anak,kita hendaklah menyemai benih yang ditanam dalam hamparan semaian iman sejak kecil lagi, agar bila mereka besar kelak akan bercambah biak padanya asas pengetahuan agama sekaligus melebar luas pada saksiah ruhiah dalaman yang mantap.Berikan mereka bimbingan dan panduan tepat tentang kehidupan berkeluarga agar anak-anak tahu dan faham tentang adab-adab pergaulan sesama manusia yang berlainan jantina.Mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain yang bukan mahramnya serta batas-batas yang sesuai dengan ajaran agama.Mana mungkin sebuah kehidupan rumahtangga yang bercampur baur di antara ketaatan dan maksiat dapat melahirkan generasi yang hebat lagi cemerlang sebagai penyambung zuriat keturunan.

Nabi pernah bersabda;“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih, kedua ibu bapalah yang akan mencorak (kehidupan) mereka sama ada menjadi yahudi, nasrani,atau majusi. Sebagaimana seekor ternakan melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggota). Apakah kamu menganggap hidung,t elinga, dan lain-lain anggotanya terpotong?”

Padahal cinta yang tulus mulus hendaklah bermula pada Dzat Maha Kuasa yang mencipta perjalanan darah yang unik sehinggakan menghasilkn preksi perasaan cinta dan kasih sayang sebagai salah satu fitrah insani yang perlu dihayati dari hati jatuh ke hati. Dia tidak pernah mencerca hina para hamba-Nya walaupun di sana kemurkaan-Nya sangat jelas dan sensitif pada kemaksiatan yang dilakukan oleh sekalaian hamba-Nya.Namun kasih sayang Allah Taala Maha segala-galanya, mengatasi kemurkaan-Nya tatkala hamba-Nya sudi merangkap di keheningan malam syahdu mengharapkan keampunan dengan mengakui kesalahan dan melahirkan rasa penyesalan di atas kelalaian dalam memilih sebuah perjalanan yang diredhai-Nya.

Mahar Cinta Terhutang

Penulis merenung sejenak, selepas selesai usai melaksanakan tuntutan agama di masjid itu, di petang indah sayut menunggu camar bertebangan pulang ke sarang. Jika mengharuskan penulis jatuh cinta kepada material terutama perempuan yang halal dikahwini, maka pengalaman jatuh cinta itu bisa penulis gambarkan secara fakta, dan bisa pula penulis gambarkan secara fiksi.

Kalau secara fakta,maka penulis tentu akan melaporkan berapa tekanan darah,berapa denyutan nadi per minit, dan bagaimana komposisi hormon serta enzim yang ada di dalam tubuh penulis bergerak sepersis tumbuhnya rasa kasih dan cinta itu, seperti catatan di kaki tempat tidur seorang pesakit di hospital, yang setiap pagi dibaca oleh oleh para doktor dengan raut wajah tanpa emosi.

Adapun kalau secara fiksi,maka penulis akan menggambarkannya begini:

“Terimalah lamaran sang kekasih untuk beradu di kamar hati”

“Jemput abang di Lembah Nil yang setia”

“Akan aku utuskan dewa-dewa kasih ke hatimu”

Gambaran yang lebih berbentuk suatu ungkapan puitis untuk dihamburkan ke liang telinga terus menerjah ke hati yang dalam untuk mengimpuls perasaan suci ditafsikan semulus tindakan yang terzahir di mata.

Kalau seseorang ingin mengetahui atau mengalami bagaimana rasanya jatuh cinta, manakah gambaran yang lebih relevan baginya? Penulis merasakan,orang itu tentu akan memilih penggambaran secara fiksi diletakkan di hadapan,manakala fakta adalah penguat pada hati untuk terus teguh pada pendirian yang lahir dari fiksi.

Spiritual atau jatuh cinta kepada Tuhan Maha Agung adalah fakta yang lebih abstrak daripada jatuh cinta kepada seorang perempuan. Kerana itu,menurut hemat penulis,agar orang lain bisa mengetahui dan merasakan pengalaman tersebut, maka perasaan itu akan lebih efektif bila digambarkan secara fiksi. Memang benar, pengalaman itu bisa juga digambarkan secara fakta dalam bentuk teologi atau psikologi. Namun penulis merasakan gambaran seperti itu tidak akan secara normal boleh melahirkan rasa cinta berputik dan menggetarkan hati-hati yang merasainya. Tapi tidak mustahil kerana sejarah telah membuktikan pada zaman para sahabat, bagaimana mereka merasakan cinta yang tumbuh mekar di hati hanyalah layak untuk Tuhan yang Esa sahaja.

Allah Taala berfirman;“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan-lah mereka bertawakal”el Anfal (8:2)

Sungguh indah cinta itu,jika ditafsirkan dalam erti maksud yang sebenarnya.

Jalan Sunnah Hiasi Rumahtangga

Ketahuilah, bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-fasa perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci kita. Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Rumahtangga ini adalah obor bagi masyarakat Islam yang cemerlang.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan dakwah,maka ianya juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah ini. Bahawa sunnah jalan dakwah ini dulu, kini dan akan datang bukanlah jalan yang merehatkan. Ia bukan juga jalan yang dihampari oleh permaidani merah dan ditaburi oleh bunga-bunga yang indah.Ia adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi di hujungnya terdapat kemanisan. Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati di kemudian hari atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan dihadapi walaupun berbeza kerjaya dan lapangan.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka kepentingan perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini baik ana mahupun bakal pendamping ana kelak. Kepentingan perjuangan ialah kepentingan Islam dan masyarakatnya serta wadah perjuangan yang mendokongnya.

Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita terasa terlalu kerdil untuk memikul tugas ini. Hanya dengan bantuan Allah sahaja kita akan berjaya. Namun, sejauh mana Allah Taala akan membantu kita adalah terletak pada sejauh mana kita mampu menepati segala kehendak-Nya. Jasteru itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing dan sangat sensitif bagi rumahtangga ini kerana ia adalah penghijab bagi kita dari bantuan Allah Taala dan akan lebih menyukarkan jalan ini.

Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada satu, cinta kepada Allah Taala. Kalau ianya harus mencintai yang lain,maka ia adalah cinta kerana Allah Taala. Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita, cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah. Semoga dengan ini kita akan digolongkan di dalam salah seorang daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah Taala di padang mahsyar kelak, lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah Taala semata-mata.

Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita pasti diikat dengan rasa ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah perjuangan (menegakkan agama Allah Taala) yang sama. Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita saling mengasihi antara satu sama lain. Begitu kukuh ikatan antara mereka yang mempunyai fikrah dan perjalanan hidup seumpama ini, dalam dambaan cinta-Nya.

CINTA dalam Islam ialah untuk mereka memahami Islam dan tuntutan syariat, serta sentiasa berada dalam tarbiah, disamping tahu akan kehendak tuntutan fitrah suci manusia itu.Bukan sahaja manis dibibir tapi bersedia untuk mengambil si 'dia' sebagai pemaisuri hati untuk sama-sama melihat Islam menjadi kuat dan dihormati kawan mahupun lawan,dengan pelbagai cara terutama dalam meramaikan zuriat yang mampu mendokong perjuangan para syuhada' terdahulu. Inilah taaruf atau konsep cinta yang ditaja oleh Islam yang penuh berhati-hati dan menjaga kemaslahatan semasa. Cinta lebih indah bila ikatan sudah dipatri antara dua sejoli.

Para hukama' pernah bermadah;"barang sesiapa yang bercinta (dengan menjaga batasan dalam islam dan untuk mencari keredhaan Allah Taala semata-mata) dan bilamana mereka mati (semasa cinta masih bertaut),maka matinya itu dikira mati syahid".

http://puteraazhari.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih untuk komen bernas anda :)

Daisypath Anniversary tickers