Search This Blog

Wednesday 15 December 2010

Homestay Kg Parit Serong

HOMESTAY ADA KOLAM RENANG?

“Belajarlah berenang, nanti bolehlah mewakili Malaysia dalam sukan Olimpik!”, kata Wak Amin.
Hahaha.. Gelak ketawa semua yang mendengarnya. Tidakkah lucu jika kita yang tak tahu berenang ini dapat masuk sukan Olimpik?
“Hey.. Tak mustahil kalau kita mencuba. Aku dulu masa nak buat kolam renang ni, semua orang tak percaya tau? Buang duit la, tak yakin boleh buat la. Akhirnya orang yang cakap itulah yang berenang kat dalam kolam renang aku”, sambung Wak Amin lagi.
Homestay ada kolam renang? Betulkah? Kalau di hotel percayalah.
“Tengok la dalam peta Malaysia, carilah mana-mana Homestay yang ada kolam renang. Inilah satu-satunya!”, tegas Wak Amin.
Bangsa kita kurang berminat dalam sukan berenang. Walhal sukan ini adalah salah satu sunnah nabi selain berkuda dan memanah. Mungkin kerana pemikiran bahawa berenang ini seksi, mahal dan sukan orang-orang kaya, kita memperlekehkan usaha orang kita yang berfikiran jauh seperti Wak Amin ini.
Baru-baru ini saya bersama UNIC berprogram di sekolah sekitar Tanjung Karang dan berpeluang menginap di Homestay yang cukup “UNIC” (unik) ini.
Homestay Amin di Kampung Parit Serong, Tanjung Karang.
Banner Homestay Ada Kolam Renang
.
Bukan kolam renang sahaja yang menjadi tarikan, homestay ini juga mampu memuatkan seramai 40-50 orang pada satu-satu masa! Tak ke meriah tu?
Selain itu, kos penginapan di homestay ini jauh lebih murah daripada hotel. Bermula dari RM25-RM100 semalam. Memang puas hatilah kalau datang ramai-ramai. Sarapan juga disediakan oleh tuan rumah untuk tetamunya (sarapan termasuk harga penginapan).
Sarapan bersama tuan rumah di pagi hari
.
40 ORANG TAK TERLALU SEMPIT KE?
“Kalau kita lihat, homestay yang lain kena ikut syarat Kementerian Pelancongan, kena ada ruang tamu dalam Homestay. Tapi Wak tak buat ruang tamu, tapi lebih kepada menyelesaikan masalah orang. Manalah tau ada rombongan pengantin (lebih 30 orang) datang ke kawasan ni, bolehlah tinggal kat Homestay ni, tak payah tinggal kat hotel sebab kos tinggi”, terang Wak Amin.
Jika datang berombongan. Kadar bayaran seorang ialah RM15 termasuk sarapan pagi.
“40 orang boleh muat dan berkatil bukan tidur atas toto, kalau tambah toto boleh muat dalam 60 orang. Harga penginapan termasuk bayaran sarapan pagi dan mandi di Swimming Pool!”, tambah beliau.
HOMESTAY ADA KOLAM RENANG?
Benar. Kolam renang ini bukan kolam yang dibeli di pasaraya (macam kolam budak-budak tu). Ianya adalah kolam renang yang sebenar.
Kedalamannya sekitar 3 dan 4 kaki ke bawah. Sesuai digunakan oleh kanak-kanak, dewasa dan orang yang tak pandai berenang. Pelampung juga disediakan bagi pengguna yang takut tenggelam!
Jom mandi di Kolam Renang Kampung Parit Serong!
.
KADAR BAYARAN BAGI PENGGUNA KOLAM RENANG:
  • Pelajar Sekolah Rendah dan Ke Bawah = RM 3.00
  • Pelajar Sekolah Menengah = RM 5.00
  • Dewasa = RM 5.00
  • Penginap Homestay = PERCUMA
Bayaran ini bagi saya amat berpatutan dengan servisnya. Kebetulan juga di sekitar Kuala Selangor dan Tanjung Karang, memang sangat kurang Swimming Pool di kawasan ini dan inilah peluang untuk menikmati mandian di dalam kolam renang untuk orang-orang di kawasan ini.
Mandi sambil menikmati suasana kampung Parit Serong.
.
Bagi kami, Homestay ini lain dari yang lain. Disamping bayaran penginapan yang murah, kita dapat menikmati suasana desa yang damai dari kesibukan kota. WiFi juga boleh diakses di sini, memang mantap!
Bayaran penginapan kami berlima hanya RM80 sahaja termasuk sarapan dan berenang-renang di kolam renang. Selalunya sekitar RM150++ untuk menginap di hotel bajet (untuk 4 orang) tanpa sarapan. Cuma homestay ini jauh di pedalaman sahaja.
PENGHARGAAN KEPADA AMIN HOMESTAY
Terima kasih kami ucapkan kepada keluarga Wak Amin di atas layanan yang diberikan. Insya-Allah jika ada kelapangan, kami akan menginap di sini lagi.
Maaf kurang jelas – Peta Homestay Amin
.
Bagi yang berminat untuk menginap di Homestay Ada Kolam Renang ini, bolehlah menghubungi Encik Amin di talian 012-970 1969 atau Puan Sur di talian 016-255 3141. Juga boleh melayari blog Homestay di http://aminhomestay.blogspot.com.
Terima kasih daun keladi. Ada masa kami datang lagi.
HOMESTAY ADA KOLAM RENANG?

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih untuk komen bernas anda :)

Daisypath Anniversary tickers