* PERINGATAN YANG PERLU DIRENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL..
"Hidup di dunia hanya sementara, hidup di akhirat kekal sampai bila-bila. Mereka yang bijak ialah mereka yang banyak mengingati mati serta membuat persiapan bekalan sesudah mati. Buatlah semua Allah dan Rasul suruh, tinggalkanlah semua Allah dan Rasul tegah."
Untuk persiapan setiap isi rumah menghadapi bencana besar ini di Malaysia sila ke pautan berikut di blog waghih.blogspot.com
MALAYSIA MULA BERISIKO KESAN PERUBAHAN CUACA
Berita Minggu 10 April 2011
PUTRAJAYA: Malaysia perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya bencana alam lebih dahsyat seperti banjir besar, gempa bumi berskala kecil dan sederhana akibat perubahan tiupan angin serta iklim global sekarang.
Presiden Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (mSET), Prof Datuk Abang Abdullah Abang Ali, berkata ramai berpendapat Malaysia selamat dan berisiko rendah untuk menghadapi bencana alam kerana kadar taburan hujan sekata sepanjang tahun dan hanya merasai gegaran akibat gempa bumi berskala kecil.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi sekarang berbeza kerana statistik dikeluarkan Jabatan Meteorologi mendapati Malaysia semakin berisiko menghadapi bencana alam berikutan perubahan cuaca yang mendadak seperti peningkatan kadar taburan hujan, ribut petir dan tanah runtuh.
"Sama ada suka atau tidak, situasi di Malaysia sekarang semakin buruk. Malah, kita boleh lihat perubahan cuaca yang ketara apabila banjir, ribut petir dan tanah runtuh semakin kerap berlaku."
"Walaupun Malaysia tidak pernah mengalami gempa bumi sehingga 9 magnitud seperti Jepun baru-baru ini, namun kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam lebih dahsyat," katanya selepas Konvensyen Kejuruteraan dan Teknologi Kebangsaan 2011 dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Tenaga), Badaruddin Mahyuddin di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abang Abdullah, berkata secara profesionalnya beliau berpendapat kebanyakan bangunan tinggi di Malaysia tidak mempunyai ketahanan atau mengalami kerosakan teruk dan runtuh sekiranya negara dilanda gempa bumi berskala sederhana.
Katanya, kebanyakan bangunan di Malaysia tidak direka bentuk untuk menahan gegaran akibat gempa bumi, aliran air deras berikutan tsunami dan angin kencang.
Abang Abdullah berkata, pihaknya akan memangggil pakar luar negara termasuk dari Jepun dan Filipina bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran mengenai kaedah terbaik menghadapi bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan banjir besar menerusi Simposium Kejuruteraan dan Teknologi Serantau (RSET) yang bakal diadakan di Kuching, Sarawak, pada November depan.
Sumber: bharian.com.my
GAMBARAN KIAMAT MENURUT AL-QURAN
Mingguan Malaysia 10 April 2011
Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri
Tsunami yang berlaku mungkin bayangan kecil kepada kiamat yang dijanjikan oleh Allah kepada makhluk-Nya.
SURAH al-Zalzalah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Muqatil dan jumhur ulama. Sedangkan Ibn Mas'ud, Ata' dan Jabir pula berpendapat ia termasuk dalam surah Makiyyah.
Ia mengandungi lapan ayat dan diturunkan selepas surah al-Nisa'. Hubungan surah ini dengan surah al-Bayyinah adalah: Dalam surah yang lalu diterangkan balasan yang diterima oleh orang yang beriman dan orang kafir. Dalam surah ini pula, Allah SWT menjelaskan waktu dan tanda-tanda berlaku hari kebangkitan.
Sebab nuzul
Orang kafir sering bertanya tentang hari pengadilan. Mereka bertanya: Bilakah datangnya hari Kiamat itu? Manakala sesetengah yang lain bertanya: Bilakah datangnya janji itu?
Dalam surah ini, Allah SWT menerangkan tanda-tanda akan berlakunya hari kiamat agar mereka mengetahui bahawa tiada jalan lain untuk menentukan hari itu iaitu hari yang didedahkan kepada manusia bahawa mereka semua akan kembali menghadap Allah SWT untuk mengurniakan balasan pahala kepada orang yang beriman serta seksaan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa.
Tafsiran ayat
Firman Allah SWT: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat). Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya).
Ibn al-Jauzi menyebut dua pendapat ulama berkenaan dengan waktu goncangan tersebut:
i. Ia berlaku di dunia dan termasuk tanda kiamat. Inilah pendapat kebanyakan ulama.
ii. Ia goncangan pada hari kiamat. Inilah pendapat Kharijah bin Zaid.
Berkenaan dengan maksud telah mengeluarkan beban-beban berat:
i. Orang-orang mati dibangkitkan seperti kata Ibn Abbas.
ii. Segala bahan simpanannya daripada emas, perak dan lain-lain seperti pendapat Atiyyah.
Sayid Qutub berkata: Itulah peristiwa hari Kiamat di mana seluruh bumi bergegar dengan gempa-gempa yang paling dahsyat dan meluahkan segala isi perutnya dari mayat-mayat, logam-logam dan sebagainya, seolah-olah bumi mahu meringankan tubuhnya daripada kandungan-kandungan yang berat itu.
Itulah satu pemandangan yang menunjukkan segala sesuatu yang tegak di bumi telah bergoyang di bawah tapak kaki para pendengar surah ini. Mereka merasa terhuyung-hayang, bumi terus bergegar dan bergoncang di bawah tapak kaki mereka, satu pemandangan yang menakutkan hati yang selama ini menyangkakan segala apa yang tegak di bumi itu akan tetap teguh, kukuh dan kekal abadi.
Inilah kesan pertama kiamat yang digambarkan oleh al-Quran, satu gambaran yang benar-benar hidup dan menjalar ke dalam saraf-saraf pendengar ayat-ayat ini sebaik sahaja mendengar ungkapan al-Quran yang unik ini.
Kesan ini bertambah apabila digambarkan reaksi manusia terhadap pemandangan itu dan dilukiskan keadaan-keadaan perasaan mereka ketika melihat pemandangan ini.
Firman Allah SWT: Dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini)? Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.
Al-Mawardi mengemukakan maksud bumi mengkhabarkannya kepada dua pendapat:
i. Perkhabaran berkenaan segala amalan hamba yang dilakukan di dunia dahulu. Inilah pendapat Abu Hurairah.
ii. Mengkhabarkan berkenaan perihal kiamat. Inilah pendapat Ibn Mas'ud
Ketika berlakunya gempa bumi yang hebat ini, bumi menceritakan isinya kepadamu dalam bentuk kegoncangan, getaran yang hebat dan gerakan bumi yang dahsyat serta kehancuran seluruh isinya yang tiada tandingannya sebelum ini.
Justeru, ia akan memberi jawapan dan pengertian kepada orang yang bertanya bahawa kegoncangan yang sedang berlaku itu bukan kerana sebab-sebab yang biasa berlaku ketika seluruh alam berada dalam keadaan normal.
Sumber: utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih untuk komen bernas anda :)