Search This Blog

Monday, 27 December 2010

.:: Bidadari dari Timur ::.



Sumber: Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang).
Penulis: Tuan Sabariah Tuan Ishak (Isteri Tok Guru) dan Illi Sarah Annual Bakri.

Pilihlah untuk 100% mengamalkan cara Islam yang mudah. Ia terjamin keberkesanannya tanpa perlu diuji lagi. Pandanglah hidup dengan kaca mata cinta dan optimis. Sapalah pagi dengan salam ceria. Jemputlah malam dengan tenang. Teguklah air yang segar. Hiruplah udara dengan rasa gembira. Ciumlah kelopak mawar dan bertasbihlah kepada-Nya. Renunglah dengan mata hati alam raya ini. Ia telah lengkap beserta manual hadis dan Al-Quran untuk membantu kita semua ke pintu syurga.


Sebaik sahaja kita memahami erti kehidupan ini, insyaallah kita mampu mengeksploitasi banyak hal yang berguna dari alam semula jadi, dalam jati diri bagi membebaskan diri daripada penyakit hati yang sering melanda manusia abad ini.


Keindahan selalu berubah-ubah dan muncul dalam aneka warna. Indahnya Subuh berbeza dengan indahnya waktu terbenam mentari di kaki langit senja tatkala menjelangnya Maghrib. Terangnya bulan purnama sama dahsyatnya dengan keasyikkan pekat malam tanpa cahaya rembulan.


Langit yang cerah, membiru laut tanpa setompok awan berbeza indahnya dengan langit berawan penuh. Semua keindahan ini harus dinikmati dengan renungan.


Pesanan dalam melayari alam rumah tangga:

Maafkanlah kesalahanku
Nescaya engkau mampu
kekalkan cintaku kepadamu
Janganlah engkau berbicara
Saat kemarahanku memuncak

Jangan sesekali dikipas api marah
Seperti memukul rebana
Engkau tidak akan mengetahui
Bagaimana buruknya
Sikap orang yang tidak terkendali

Janganlah banyak mengeluh
Kerana ia akan mengikis cinta
Dan hatiku ini mampu
Berubah menolakmu
Kerana tabiat hati yang tidak tetap

Sesungguhnya kulihat cinta dalam hati ini
Bila berpada rasa benci
Dalam waktu singkat
Rasa cinta itulah yang kalah, hilang.....


Ambil dan berilah yang terbaik...

Jadilah seperti lebah, makan daripada sumber yang baik dan mengeluarkan hasil yang baik dan manis pula. Bila ia hinggap di ranting, tidaklah pula sampai mematahkannya, menghisap pati sari bunga tanpa menyengatnya, mengeluarkan madu juga tanpa sengat, terbang dengan sebaran debu kecintaan, lalu hinggap membawa kasih sayang. Bersuara dengungan bagaikan berita gembira dan suara desingan umpama ungkapan kesyukuran, ia seakan-akan malaikat dari langit yang turun ke bumi dari alam yang kekal.


Ketokohan serta karisma milik suamiku dalam menyebarkan ilmu agama menyebabkan dia diangkat tinggi dalam masyarakat setempat dan antarabangsa. Mereka yakin bahawa sosok ini sama sekali tidak akan mensia-siakan sesiapapun di bawahnya.

Lantas 40% daripada gaji bulanannya sengaja dipotong untuk diisikan ke dalam Tabung Serambi Mekah milik Kerajaan negeri Kelantan. Guna untuk dikongsi serba sedikit dengan rakyat. Untuk dipulangkan kembali, moga muncul dalam bentuk yang lebih baik lagi.

Kehidupan kita ini sementara sahaja. Kita akan menemui Tuhan Yang Esa suatu hari nanti. Justeru, pemimpin seperti inilah yang kucari-cari. Supaya hatiku ini tidak leka. Sentiasa diseru.

Kesibukan tugas rasminya bukanlah alasan atau tembok penghalang untuk menghentikan aktiviti dakwah. Seharusnya, bagi kita umat Islam, segala-galanya dalam hidup ini adalah berlandaskan Islam. Tidak terkecuali bidang politik. Jika tanpa landasan yang betul, politik pegangan kita untuk memerintah negara akan menyebabkan kita terlalai.

Astaghfirullahal ‘Azim...

Bertaubatlah semua, yang ketika ini sedang membelek-belek buku ini. Kembalilah ke pintu taubat. Khatamkan kembali Al-Quran jika engkau telah mula lupa. Ingati kembali lenggok bacaan merdunya untuk yang kedua kalinya dan yang ketiga kalinya. Bahkan untuk yang keseratus kali sekalipun.

Berkat dan berbahagialah, bagi yang membacanya. Aku dan suami di sini mendoakan kalian. Doakanlah juga kami di sini.

Sejarah tidak pernah kenal erti kata-kata terakhir dan akal tidak mengenal penghabisan sama sekali , tetapi yang dikenal hanyalah usaha dan pembaikan diri.


Anugerah Sebuah Kehidupan

Buat mereka yang tertanya-tanya, "Indahkah dunia dengan menjadi suri hidup Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat?" Sudah tentu ada jawapannya yang sekian lama terkumpul dihatiku.

Bolehlah aku simpulkan bahawa ia begitu bermakna. Dialah perkara terbaik yang pernah muncul dalam diari hidup ini. Dia membantu aku menemukan diri sendiri.

Hadirnya dia dalam hidupku adalah satu anugerah yang tiada ternilai. Hadirnya adalah wasilah untuk aku merandai hidup ini dengan makna yang sebenar. Dia umpama lantera yang tidak pernah jemu menebarkan cahaya ke segenap ruang hidupku, lantas aku bisa terus mengatur katih mendepani segala cabaran dan dugaan hidup ini.

Dan, hanya ucap syukur yang bisa kulafazkan sebagai tanda sanjungku di atas anugerah yang telah Allah SWT tentukan untukku dalam hidup yang serba fana ini. Semoga kesyukuran itu bisa memanifestasikan segala rasa yang ada di hati ini di sisi Allah SWT.

Banyak cara untuk aku menemukan diri sendiri dan keperibadian sebenar sebagai seorang muslim, wanita, anak, isteri dan jua ibu. Berani mencari kelebihan dan kekurangan diri. Mengubah apa yang kurang kepada keyakinan. Dia banyak membantuku menyingkap siapa diri ini. Kami saling membantu mencari harga diri masing-masing.

Dunia kami yang berliku panjang, tiada puisi selayaknya mampu menggambarkan segalanya secara tepat. Tiada akal yang dapat melukiskan segalanya secara terang dan nyata.


Dari tangga kayu yang kududuki ini, kelihatan bayangannya yang selesai mengimamkan solat Isyak di masjid bersebelahan rumah kami.

Sungguh, aku tidak tahu dari mana mulanya cinta sebesar ini. Sedar-sedar sahaja, aku seperti sudah di syurga dunia.

Perlahan, lutut tuaku bangun menyambut ketibaannya. Kelihatan senyum santainya. Kini dia tegak berdiri di hadapanku. Kedua tangannya aku salami, kukucup. Syahdu. Aku renung dan tatap wajahnya yang putih bersih seakan diliputi cahaya.

“Mengapa Yah menangis?”
“Tiada apa-apa abang. Tiba-tiba teringat bermacam-macam perkara,” balasku ringkas.

Angin malam terus menghembus. Mengalunkan dingin ke segenap ruang dunia. Dinginnya menyucuk hingga ke tulang hitam. Segera aku menjemputnya masuk ke dalam teratak milik kami. Teratak cinta kami. Teratak yang telah menghimpunkan segala makna cinta sepanjang dia hadir dalam hidupku. Dan teratak yang telah menjadi arkib menyimpan segala suka duka hidup kami sebagai sepasang suami isteri.

Jika kalian pernah terfikir bagaimanakah lelaki itu berdiri dengan aura karismanya yang tersendiri menyebarkan dakwah Islamiyyah dalam statusnya sebagai Menteri Besar Kelantan, akulah wanita di belakangnya.

Dan semoga berdirinya aku di belakang dia akan terus mampu menjadi nyalir nyali yang terus membuatkannya tega merandai segala cabaran dalam perjuangan ini.

Jua semoga redha Allah SWT sentiasa mengiringi setiap jejak perjuangan ini dan semoga setiap insan yang telah mewakafkan dirinya untuk perjuangan ini akan mendapat penghormatan terbaik daripada Allah SWT. Kerana sesungguhnya janji Allah SWT itu tidak pernah mungkir, lantas yakinlah betapa perjuangan ini tidak pernah ada noktahnya selagi nyawa menumpang jasad.

Inilah kisah hidupku.

Aku memilih


Untuk menghidu bau Syurga-Mu


Dengan setia bersama suamiku..


Telah aku angankan menjejak ke dalamnya


Melalui mana-mana pintu yang aku sukai.


Ya Allah, aku mohon redha dan syurga-Mu.

Amin.




0 comments:

Post a Comment

Terima kasih untuk komen bernas anda :)

Daisypath Anniversary tickers