Search This Blog

Thursday, 16 June 2011

Pasangan Hujung Minggu


SOALAN
Saya penjawat awam, sudah berkahwin tetapi masih belum mempunyai cahaya mata setakat ini. Masalah yang saya dan suami hadapi adalah hubungan jarak jauh ini kerana saya bekerja di Terengganu manakala suami bekerja di Perak. Saya sudah cuba bertanya teman-teman mengenai kemungkinan pertukaran agar saya dan suami dapat tinggal bersama.
Namun, jawapannya hampa kerana masing-masing terikat dengan SUK (Setiausaha Kerajaan) negeri. Akibatnya, sememangnya tiada jalan penyelesaian. Setakat ini memang tiada masalah dan syukur Alhamdulillah suami amat memahami dan sanggup berulang-alik setiap minggu dan kadang-kadang sekali sebulan. Tetapi, sampai bila harus begini? Apakah wajar saya sebagai isteri mengabaikan tanggungjawab seperti isteri yang lain atau adakah saya patut berhenti kerja? HANIDA

JAWAPAN
Salam Kesabaran dihulurkan untuk Hanida yang buntu dan mudah-mudahan diberikan jalan untuk kita terus melangkah dengan penuh semangat dan kegembiraan. Terima kasih kerana terus memikirkan cara untuk memburu syurga Allah SWT melalui rumah tangga.
Hanida yang baik, suami adalah hadiah Allah SWT buat kita, sebab itu Allah SWT menjanjikan tiga perkara di samping anugerah-Nya yang lain iaitu setiap anak Adam yang lahir sudah ditentukan umurnya, rezekinya dan jodohnya. Maka suami adalah antara hadiah Allah SWT dalam pusingan hidup manusia. Begitu juga rezeki kita…setiap bumi Allah SWT ini berkat dan ada rezeki untuk semua yang mencarinya kerana Allah SWT. Janji Allah SWT ini pasti, sebab Dia tidak pernah kejam dan berbohong dengan hamba-Nya, yakinlah ini dengan sepenuh hati.
Persoalan yang anda kongsi ini sesungguhnya amat memerlukan anda membuat pilihan amat penting sekarang. Ini kerana anda akan mempunyai anak, Insya-Allah, dan suami pasti akan berasa dengan penat dan jemu akhirnya untuk berulang. Kita juga bimbang, ada kalanya, jarak jauh itu sebahagian punca perceraian dan punca kecurangan atau apa yang dikatakan cinta tiga segi atau bermadu dalam senyap.
Ini kerana, betapa pun tebalnya cinta, jika terlalu jauh – melakukan perjalanan yang menyebabkan anda penat, waktu panjang dan badan penat pasti meninggalkan kesan. Justeru, faktor jarak menggamit kesulitan dalam hidup berumah tangga anda. Jika belum ditemui lagi ranjau-ranjau di sepanjang jalan, dalam bas, perhentian rehat dan pertemuan rambang, boleh membawa kepada berputiknya rasa dekat, seronok dan akhirnya cinta dengan si dia yang kita temui dalam perjalanan.
Hanida, Umie sendiri berpengalaman dan diizinkan bertemu ramai rakan-rakan wanita yang dimadukan dalam senyap, walaupun si isteri di depan mata dan tidak pernah tinggal tempat tidur. Inilah takdir…kata pelakunya bagi membenarkan tindak tanduk mereka.
Ada juga beralasan terpaksa menduakan pasangan kerana sunyi iaitu sunyi hati dan sunyi ruang. Malahan pasangan yang terjebak dengan perzinaan juga tidak kurang jumlahnya, juga dengan alasan sekadar perintang waktu etika kesunyian.
Umi tidak menafikan sikap jujur suami anda setakat ini, tapi lama kelamaan jika berita kesunyian dirinya mengharungi hidup berkeluarga jarak jauh sudah tersebar di tempat kerja, ada pula yang simpati lalu menawar diri. Alasannya sebab si isteri tiada di sisi dan lagi jauh di mata, lagi hebat boleh menyembunyikan perhubungan itu.
Oleh itu, sebelum drama ini memulakan episod pilu ini, nasihat Umi, buatlah pilihan walaupun getir kebimbangan dan keraguan anda. Sesukar mana pun proses pertukaran, haruslah diikhtiarkan secara bersungguh-sungguh sehingga anda dapat bersatu dengan suami atau suami dapat ke tempat anda. Lihatlah yang mana pilihan dipersetujui suami.
Sesungguhnya ini amat penting kerana suamilah penentu syurga anda di dunia dan akhirat. Andai kata tiada ruang berpindah usahakan mencari pekerjaan baru dengan penuh kesedaran dan keredaan berdoa kepada Allah SWT setulusnya, kerana Dialah penentu dan pemegang semua sumber rezeki makhluknya.
Malah, ia pasti mendukacitakan Allah SWT jika keadaan anda terus begini – seorang di hujung sana dan seorang lagi di ceruk sini, terpisah kerana keadaan dan tuntutan kerja. Persoalannya sampai bila? Allah SWT juga tidak mengizinkan perkara sebegini berlaku, sebab itu dipesan oleh agama, kedudukan isteri itu di sisi suami. Jangan di ringankan perintah Tuhan ini. Lawan perintah ibu bapa durhaka hukumnya tapi melawan perintah Allah SWT, bimbang neraka yang menanti. Nauzubillahminzaliq
Lakukanlah seperti yang dilakukan oleh Ibnu Taimiyyah yang menyebut :”Jika masalah yang saya hadapi mengalami kebuntuan, maka saya akan bersitighfar kepada Allah SWT sebanyak seribu, nescaya Allah SWT akan membukakan jalan keluar.
” Ini dijelaskan pula oleh Allah yang berfirman: “Maka aku katakan kepada mereka – mohonlah ampun kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun”(QS Nuh:10).
Jika anda masih ragu-ragu untuk bertindak ambillah pesanan Allah WT ini buat renungan dan modal bertindak iaitu: “Sesungguhnya, Allah SWT sudah menetapkan ketentuan-ketentuan atas makhluk-Nya iaitu 50 tahun sebelum mereka diciptakan (Al-Hadis). Sebab itu bangunlah mencari penyelesaian agar anda tidak di timpa masalah yang jauh lebih sulit di selesaikan nanti dan bangunkanlah semangat bahawa anda bertindak bersama Allah SWT atas perintah-Nya Allah dan bermatlamat mencari reda-Nya.
Antara bekalannya keyakinan bahawa masalah kecil menjadi besar di mata orang yang kecil dan masalah besar menjadi kecil di mata orang besar. Pilihlah anda mahu menjadi orang yang bagaimana? Jika anda memilih menjadi orang kecil atau orang besar maka anda akan mendapat hasil mengikut usaha anda.
Namun Umie perturunkan satu lagi dorongan untuk anda – fahami “orang yang berusaha mencapai kebahagiaan dengan mengumpul harta benda, kedudukan atau jabatan, di akhirnya mereka akan hanya bertemu dengan kerugian, kesuntukan masa dan kegelisahan di akhir perjalanan mereka.
” Jangan sampai bahagia yang dikumpul akhirnya menjadi duka kerana kita berbeza dengan mereka yang beragama lain, sebab itu kita diingatkan: “Tetapi kamu (orang kafir) memilih kehidupan duniawi, sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal. (QS Ai-A’la:16-17). Ini tidak bermakna kita perlu buang dunia, tetapi carilah akhirat. Sesungguhnya syurga seorang isteri itu daripada suami yang mentaati Allah SWT.






0 comments:

Post a Comment

Terima kasih untuk komen bernas anda :)

Daisypath Anniversary tickers