Saat Ikrar Sakinah ini diuntai melalui akad nikah. Ia merupakan “lafaz penyerahan dan penerimaan”. Penyerahan dan penerimaan mas kahwin dan tanggungjawab di antara pengantin lelaki dan perempuan dan juga penyerahan tanggungjawab di antara bapa dan menantu. Saat “penyerahan dan penerimaan” tanggungjawab di antara bapa dan menantu diperhalusi lagi di dalam “Saat Lafaz Sakinah”.
HENINGNYA… SUNYI SUASANA… LAFAZ SAKINAH BERMULA
Tiba satu lagi saat selepas heningnya saat ijabkabul, yakni “Saat Lafaz Sakinah”. Satu saat apabila didengar pada namanya begitu indah, bahagia seindah maksud Sakinah iaitu ‘ketenangan’. Benar tenang sekiranya yang berjanji pada ‘saat’ itu benar-benar menunaikan janji.
APA RASA… DITERJEMAH HANYA… SEBAK ABAH, TANGIS IBUNDA
Saat ini hanya ‘rasa’ yang mampu menterjemah cerita. Cerita tentang ‘rasa’ insane yang membesarkan anak perempuannya dengan penuh kasih saying yakni abah dan ibu menyerahkan anaknya kepada seorang lelaki yang masih kabur niatnya, masih kabur ‘erti cinta’ pada anaknya. Abah yang selama ini menggasak kudratnya untuk membesarkan anaknya, yang tidak pernah kita lihat akan tangis susahnya, hari ini, ‘saat’ ini kenapa mampu kita membaca sebaknya? Ibu sekali lagi engkau menangis selepas engkau menangis gembira melahirkan anakmu… pada ‘saat’ ini… “Saat Lafaz Sakinah”
ADALAH AKU, WALI PUTERIKU… SERAH KINI AMANAHKU INI PADAMU… NAFKAHILAH DIA, CURAH KASIH & CINTA LEBIH DARI YANG KU BERIKAN KEPADANYA
Abah apa lagi yang tidak kau berikan pada anakmu? Apa kurangnya lagi kasih dan cintamu?... Sedalam mana lagi kasih dan cinta lelaki baru itu harus diberikan kepada buah hatimu itu? Jawab abah… Engkau harus curahkan kasih dan cinta sedalam-dalamnya, kerana aku inginkan rasa percaya puteriku padamu berbunga-bunga… Sama saat pertama kali dulu dia percaya padaku dan diserahkan jemari kecilnya untuk aku memimpinnya dan membawanya ke mana-mana.
DULU ESAKANNYA DISANDAR DI BAHUKU… TANGISNYA KINI KU SERAH PADAMU… BUKAN BERMAKNA DIA BUKAN MILIKKU… FITRAHNYA PERLUKANMU
Ingatlah perihal hidup di dunia ini penuh warna, putih dikurnia hitam pasti ada, Mudanya di pagi kadang tuanya di senja. Akan tiba masa engkau akan terima esak tangisnya.. janganlah sesekali engkau rasa itu beban bagimu.. jika dulu semuanya di bahu ku.. tangisnya kini aku serah padamu.. setialah di sisinya saat itu, kerana selalunya esak dan tangisnya tidak lama.. kemudian dia akan terus membahagiakanmu. Aku serahkan padamu bukan bermakna dia bukan milikku… dia tetap anak kecilku bagai dulu.. namun fitrah hidupnya perlukanmu…
JADIKANLAH DIA WANITA SYURGA… MENGERTI BENAR AKAN MAHARNYA… TAAT ITU BUKAN HANYA PADA NAMA… INDAH IA PADA MAKSUDNYA.
Aku impikan puteriku lisannya, kelembutannya, kesabarannya, kehalusan budinya dan keikhlasannya bak wanita syurga. Anakku perlu mengerti akan erti mahar yang diberikan olehmu padanya. Erti mahar itu adalah satu ketaatan. Ketaatan itu janjiNya adalah syurga.
KU AKUR AKAN PESANMU… PUTERIMU KINI AMANAHKU
Aku ingat sekali kata-kata Imam Al-Ghazali “yang paling berat di muka bumi ini adalah amanah”. Abah janjiku ini kelihatan ringkas namun aku faham akan beratnya ia.. janganlah kau risau dan gusar akan aku benar-benar memegang amanahmu.
IRINGILAH DENGAN DOAMU… BAHAGIA KAMI DARI REDHAMU
Namun abah aku pinta darimu doakanlah kami, kerana aku amat yakin redha Allah dalam keluarga baru ini ialah dari redhamu.
Sumber: Halawatul Iman II - Far East
Sumber: Halawatul Iman II - Far East
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih untuk komen bernas anda :)