Usrah Nisa' Bulan Mei diadakan pada 7 Mei 2010, pada pukul 9 malam di Pejabat PAS Kawasan Serdang. Kehadiran kali ini sangatlah memberangsangkan. Muka2 baru pun ramai. banyaknya perubahan dan sambutan, Alhamdulillah. Pada Usrah kali ini, tajuk yang dibincangkan adalah tajuk kelima dalam Buku "Wabak Sepanjang Jalan", iaitu Al-I'jab bil Nafsi iaitu terpesona dengan Diri Sendiri.
Mari kita fahami seterusnya, insyaAllah tentang apakah yang dimaksudkan dengan Al-I'jab dan kesannya terhadap pendokong-pendokong jemaah. Pembentang kali ini adalah Pn Sakinah dan Cik Safiyyah ye...
5) AL-I’JAB BIL NAFSI (TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI)
Pengertian (bahasa) : Gembira dan berharapan baik -Rasa besar dan membesarkan
Pengertian (Istilah) : Suatu kegembiraan degan diri sendiri, hasil dari apa yang dilakukannya sama ada perkataan atau perbuatan tanpa menyinggung orang lain, tanpa mengambil kira perbuatan dan perkataan tadi baik atau buruk, terpuji atau terkeji.
Sekiranya perasaan terpesona tadi menyentuh dan menyinggung orang lain dalam bentuk penghinaan ke atas peribadi mereka di samping dia mengecilkan apa yang mereka lakukan itu, dikira al-ghurur atau terlalu mengagumi diri sendiri. Sekiranya telah menyentuh perasaan orang lain dalam bentuk penghinaan peribadi mereka juga meninggikan dirinya ke atas mereka ianya dinamakan Al-Takabbur atau begitu mengagumi dirinya.
Sebab-sebab Berlakunya al-I'jab bil nafsi
1) Suasana awal dibesarkan
Kadangkala Al-I'jab bil Nafsi berpunca dari suasana yang dialami semasa tahap awal seseorang itu dibesarkan.
Mungkin di sinilah rahsianya kenapa Islam menegaskan ke atas ibu bapa agar sentiasa iltizam dan patuh kepada peraturan Allah seperti yang telah kita terangkan dalam perbincangan penyakit kedua, iaitu penyakit pembaziran.
Hanya peraturan Allah sahaja yang dapat melindungi ibu bapa daripada menyeleweng. Dengan yang demikian barulah mereka dikira layak untuk dicontohi oleh anak-anak.
2) Memuja dan memuji secara berdepan tanpa mematuhi dan mengambil kira adab dan peraturan hukum syara' yang berkaitan dengan pujian.
Kadangkalanya sebab yang mendorong kepada sikap terpesona dengan diri sendiri ialah kerana pemujaan dan pujian yang diberi secara berdepan tanpa mematuhi dan mengambil kira adab dan peraturan hukum syara' yang berkaitan dengan pujian.
Abdul Rahman bin Abi Bakrah meriwayatkan dari bapanya, katanya: Seorang lelaki memuji kawannya di depan Nabi Muhammad SAW. Lantas Nabi menegur dengan katanya: "Celaka kamu, kamu telah memotong tengkok kawanmu" (baginda melafaznya berkali-kali). Apabila salah seorang dari kamu tidak dapat mengelak kecuali memuji kawannya maka hendaklah ia berkata: "Pada perkiraan saya orang ini demikian, demikian, dan pada Allah ada penilaiannya dan aku tidak memuji seseorang itu mengatasi pujian Allah itu pun kalau ia mengetahui tentang kebenaran yang dipuji.
Tambahan*** Adab ketika memuji orang, mulakan dengan ucapan "MasyaAllah tabarakallah...." atau "Subhanallah.........."
3) Mendampingi Golongan yang Bersifat Kagum dengan Diri Mereka Sendiri
Kadangkala sebab menjadikan seseorang itu terpesona dengan diri sendiri adalah berpunca dari perdampingan dan pergaulan mereka dengan yang bersifat tersebut. Hal ini berlaku disebabkan tabiat manusia begitu sekali terpengaruh dan terkesan dengan perwatakan rakannya, lebih-lebih lagi jika rakannya itu mempunyai perwatakan yang begitu hebat dan memiliki pengalaman yang banyak serta banyak mengharungi liku-liku hidup, sedangkan orang yang mendampingi mereka tidak mengetahui hakikatnya yang sebenar.
Kemungkinan di sinilah rahsia di sebalik penegasan Islam tentang perlunya memilih rakan agar ianya dapat memberi buah atau hasil yang baik, dan kesudahan yang terpuji. Nas-nas syara' tentang perkara ini telah pun dinyatakan semasa kita membincangkan tajuk al-Futur.
4) Berada di dalam nikmat dengan melupai penganugerah nikmat (Allah)
Kadangkala sebab yang menjadikan seseorang itu terpesona dengan dirinya sendiri disebabkan ia berada di dalam nikmat. Sedangkan ia melupai penganugerah nikmat. Terdapat jenis amilin di mana apabila Allah mengurniakannya nikmat sama ada nikmat harta benda, ilmu pengetahuan, kekuatan, pangkat atau seumpamanya dia akan tenggelam dengan nikmat tadi sehinggakan dia melupai pemberi nikmat itu, iaitu Allah. Hasil dari pengaruh nikmat dan kekuasaanya itu maka dirinya membisik bahawa apa yang diperoleh dari nikmat tadi tidak lain dan tidak bukan kerana keupayaan dan kebolehan yang ada padanya seperti yang dilafaz oleh Qarun :
Qarun berkata: "Sesungguhnya apa yang diberi kepada aku harta, itu kerana ilmu yang ada pada ku."
Bisikan ini akan terus bersemarak di dalam dirinya sehinggalah ia melihat bahawa ia telah sampai ke kemuncaknya dengan merasai begitu selesa, dan dia bergembira setiap apa yang dihasilkannya. Sekalipun apa yang dilakukannya itu tidak betul. Yang demikian itulah dinamakan al-I'jab bil nafsi.
Kemungkinan di sinilah rahsia di sebalik penegasan Islam bahawa punca bagi segala nikmat adalah datangnya daripada Allah. Oleh itu, setiap muslim adalah berkewajipan bermunajat kepada Tuhannya pagi dan petang dengan berdoa tiga kali.
"Ya Allah, apa saja nikmat yang aku peroleh di waktu pagi atau dari mana satu makhluk engkau, maka dari Engkau sahaja dan tidak ada sekutu bagi engkau maka segala pujian dan segala kesyukuran bagi Engkau."
5) Memikul tugas sebelum matang dan tarbiyahan secukupnya
Kadangkala berlakunya al-I'jab bil nafsi adalah disebabkan seseorang itu dibebankan dengan tanggungjawab sebelum ianya matang atau di tarbiyah dengan secukupnya. Ini disebabkan fenomena yang wujud di dalam gerakan Islam itu sendiri di mana mahu tidak mahu sebahagian amilin terpaksa bertanggungjawab mengendalikan sebahagian kerja pada hal mereka belum layak untuk memikul tugas atau diberi kepercayaan bagi menduduki tempat yang dimilikinya sekarang ini, kecuali kerana kebolehan dan keupayaan yang mereka miliki.
6) Lalai atau gagal mengenali tentang hakikat diri
kadangkala berlaku al-I'jab bil nafsi adalah berpunca dari kealpaan atau kejahilan tentang hakikat diri. Apabila manusia alpa atau gagal mengenali hakikat dirinya, di mana manusia pada hakikatnya dijadikan dari air mani yang keji yang keluar dari saluran kencing, dan mereka juga adalah makhluk yang pada tabii dan sifatnya penuh dengan kekurangan, di samping itu pada akhirnya mereka akan disemadikan di dalam tanah sebagai tempat kembali. Maka pada masa itu, diri mereka akan menjadi bangkai busuk yang menjijikkan, dan menjadikan seluruh makhluk akan menjauhkan diri kerana tidak tahan dengan bau busuknya.
Apabila realiti ini dilupai oleh manusia, bahkan ia merasai dirinya begitu penting, apatah lagi pihak syaitan terus merangsang tentang apa yang sedang bermain di kepalanya. Maka pada akhirnya ia akan terpesona dengan diri sendiri atau al-I'jab bil nafsi.
7) Keturunan yang Baik dan Mulia
Kadangkala sebab yang membawa kepada al-I'jab bil nafsi ialah kerana seseorang itu berasal dari keturunan yang baik dan mulia. Apabila seseorang amilin menyedari bahawa dirinya datang dari keluarga kenamaan atau dari keturunan baik dan mulia ia mungkin akan merasai bahawa diri dan apa sahaja yang dicetuskannya adalah baik belaka. Padahal dia lupa atau sengaja melupakan bahawa keturunan atau asal-usul tidak mungkin menjadikan seseorang itu maju ke depan atau pun mundur ke belakang. Bahkan punca segala ini bergantung kepada tindakan yang dilakukannya dengan begitu bersungguh-sungguh dan berpenat lelah. Cara yang demikian akan terhakis rasa bangga dengan keturunannya yang mulia dan baik yang membawanya kepada al-I'jab bil nafsi.
8) Keterlaluan dan Berlebihan dalam Memberi Penghargaan dan Penghormatan.
Kadangkala sebab yang membawa kepada al-I'jab bil nafsi adalah disebabkan penghormatanyang diberi kepada seseorang itu agak berlebihan dan keterlaluan. Kadangkala kita dapati ada di kalangan para amilin yang diberi penghormatan oleh rakan-rakan di dalam jemaah atau orang lain dalam keadaan yang agak berlebihan dan keterlaluan, yang mana ianya jelas bercanggah dengan petunjuk Islam, dan ditolak oleh Undang-undang Allah. Sebagai contoh mereka terus bangun atau duduk selagi mana orang yang dimuliakan itu bangun atau duduk, atau mencium tangannya dan membongkokkan diri bila berhadapan dengannya atau mengikutinya dari belakang apabila ia berjalan.
Bila penghormatan yang sedemikian diberi, orang tadi akan merasai segala penghormatan yang diberi kepadanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana keupayaan dan kehebatan yang ada padanya dan tidak pula ada pada orang lain. Bisikan ini akan terus bersemarak di dalam dirinya sehinggalah membawanya kepada al-I'jab bil nafsi, wal iyazubillah.
9) Ketaatan yang Melampaui Batas
Kadangkala sebab yang membawa al-I'jab bil nafsi ialah berpunca dari ketaatan dan kepatuhan yang melampaui batas. Kadangkala terdapat para amilin yang menerima taat setia dari para pengikut yang begitu keterlaluan, yang jelas tidak selari dengan manhaj Allah sehinggalah ketaatan yang diberi itu seolah-olah kepatuhan berlaku dalam semua perkara sama ada makruf ianya atau mungkar atau yang baik mahupun yang jahat.
10) Tidak menyedari tentang kesan yang akan timbul dari perlakuan al-I'jab bil nafsi
Perkara yang terakhir yang boleh membawa kepada al-I'jab bil nafsi ialah tidak menyedari tentang kesan dan akibatnya. Kelakuan dan tindak-tanduk manusia dalam hidup pada kebiasaannya adalah berpunca dari apa yang ia faham atau tidak faham tentang akibat yang akan diterima hasil dari tindak-tanduknya.
Kesan al-I'jab bil nafsi
1) Terjebak ke dalam perangkap al-Ghurur bahkan juga al-Takabbur
Kesan dari al Ghurur dan al Takabbur adalah begitu bahaya, di mana sifat kedua-duanya itu akan membawa kepada kebinasaan. Ini disebabkan orang yang al-I'jab bil nafsi dengan dirinya sendiri pasti akan didorong oleh sifat tadi untuk melupakan dirinya dan ia akan mengenepikan usaha untuk menyemak dan muhasabah dirinya. Dengan berlalunya masa, ia akan berkembang sebagai penyakit.
2) Terhalang dari mendapat taufik Allah
Ini disebabkan sikap ujub yang ada pada seseorang itu akan terus mengheretnya kepada satu sikap yang dinamakan keakuan. Ia akan terus bergantung kepada sikap keakuannya itu di dalam semua perkara dan tindakan, sehinggakan ia terlupa atau melupai Khaliq atau penciptanya yang mentadbir urusannya juga penganugerah segala nikmat yang ada padanya, sama ada zahir ataupun yang batin.
3) Kecundang apabila berhadapan suasana gawat dan genting
Ini disebabkan orang yang ujub itu sentiasa mengabaikan dirinya dari tazkiyyah atau meningkatkan pengabdiannya di jalan Allah. Dengan keadaannya yang begini dari awal-awal lagi ia akan kecundang dan tidak berupaya apabila bertembung dengan suasana gawat dan mencabar. Oleh kerana ia tidak mengenali Allah semasa senang maka Allah juga tidak mengenalinya semasa susah.
4) Orang ramai menjauhkan diri dan membencinya
Ini disebabkan orang yang ujub itu sentiasa mendedahkan pekong di dadanya yang membawa kepada kemurkaan Allah. Sesiapa yang Allah murkai, maka seluruh penghuni langit akan turut memarahinya. Ekoran dari itu, kemarahan yang wujud di langit akan diturunkan pula ke bumi untuk turut memarahinya. Sebagai hasilnya, orang ramai akan menjauhkan diri darinya, di samping mereka membencinya juga tidak sanggup bukan sahaja untuk melihatnya, bahkan untuk mendengar suaranya pun mereka tidak mahu.
5) Balasan dari Allah sama ada cepat atau lambat
Ini disebabkan orang yang terpesona dengan dirinya telah menjadikan sifat atau akhlaknya itu terdedah kepada azab Allah dalam kadar segera di mana ia akan dimusnahkan seperti yang pernah berlaku kepada umat-umat dahulu kala. Atau sekurang-kurangnya ia akan dibalas dalam bentuk keluh kesah, hilang pedoman dan hilang ketenteraman jiwa. Manakala azab yang lambat pula, mereka akan diazab oleh Allah dengan api neraka bersama-sama orang-orang yang sebasib dengannya.
KESAN KE ATAS GERAKAN ISLAM
1) Mudah ditembusi
Ekoran dari itu, gerakan Islam akan dipukul atau sekurang-kurangnya ia akan dibantutkan, pada masa itu gerakan Islam tidak mencapai hasilnya kecuali selepas berhempas pulas yang begitu banyak, dan mengambil masa yang agak panjang. Kesemuanya ini agak kecundangnya para amilin yang kagum dengan diri sendiri dalam menghadapi suasana getir dan mencabar. bahkan mereka akan dihalang dari memiliki pandangan yang jauh dan tajam yang akan menolong mereka mengenal pasti golongan yang mengaku penglibatan mereka di dalam gerakan di samping mampu membezakan di antara mereka dan golongan lain yang turut serta di dalam gerakan.
2) Terhenti atau sekurang-kurangnya agak lambat untuk memperoleh sahabat dan para penyokong
Ini disebabkan orang ramai sentiasa menjauhkan diri dari mereka, di samping mereka juga tidak senang atau benci kepada para amilin yang sentiasa kagum dan terpesona dengan diri sendiri. Kesemuanya ini sudah pasti memerlukan jalan yang begitu jauh untuk direntasi dan bebanan yang begitu banyak perlu dipikul oleh gerakan Islam. Demikianlah rupanya kesan yang ditinggalkan oleh al-I'jab bil nafsi ke atas gerakan Islam dan para amilinnya.
FENOMENA AL-I'JAB BIL NAFSI
1) Menonjol kebaikan diri
Berbangga dengan diri sendiri merupakan ciri pertama al-I'jab bil Nafsi, di mana seseorang itu akan sentiasa memuji dan mengangkat dirinya sendiri. Padahal ia lupa atau sengaja melupakan.
2) Enggan menerima nasihat
Seseorang itu susah untuk menerima nasihat bahkan ia sentiasa cuba mengelakkan diri dari dinasihati. Pada hal tidak ada kebaikan bagi sesuatu kaum yang tidak beramal dengan nasihat menasihati dan tidak juga menerima nasihat.
3) Rasa gembira apabila mendengar kelemahan orang lain terutama yang berlaku di kalangan rakan-rakannya.
Seseorang itu akan merasa begitu seronok apabila ia mendengar berita tentang keaiban atau kelemahan orang lain lebih-lebih lagi kelemahan yang ada pada rakan-rakannya. Sikap sedemikian telah mendorong al Faudhail bin Iyaz Rahimahullah berkata:
"Sesnggyhnya di antara tanda munafiq seseorang itu ialah ia akan merasa begitu seronok dan senang apabila ia mendengar tentang keaiban yang ada pada rakan-rakannya."
CARA MENGUBATI PENYAKIT AL-I'JAB BIL NAFSI
- Sentiasa mengingati hakikat kejadian diri manusia.
- Sentiasa mengingati tentang apa itu hakikat dunia dan apa pula hakikat akhirat
- Sentiasa mengingati tentang nikmat Allah yang dilimpahkan ke atas manusia sebesar-besar sehinggalah ke sekecil-kecilnya.
- Sentiasa memikirkan tentang mati, dan kedudukan selepas mati yang penuh dengan penderitaan dan kengerian.
- Sentiasa mendengar dan mengamati kitab Allah dan Sunnah NabiNya.
- Sentiasa menghadiri majlis tamu, terutama majlis ilmu yang membicarakan tentang penyakit jiwa (hati) dan cara-cara mengatasinya.
- Sentiasa memerhati keadaan orang yang sakit, cacat anggota, bahkan juga orang-orang yang mati terutamanya pada waktu mereka dimandi, dikapan dan ditanam.
- Memperingatkan ibu bapa agar membebaskan diri dari penyakit al-i'jab bil nafsi dan seumpamanya.
- Hendaklah menjauhkan diri dari bergaul dengan golongan yang kagum dengan diri sendiri.
- Hendaklah sentiasa diperingati tentang betapa perlunya adab dan tatatertib syara' diikuti dalam menyampaikan sesuatu penghargaan, pujian, dan penghormatan juga dalam memberi kesetiaan dan ketaatan.
- Jangan terlalu gopoh untuk memegang teraju kepimpinan dalam keadaan-keadaan tertentu.
- hendaklah selalu mengkaji dan merenungi sejarah golongan yang terdahulu bagaimana mereka mengawal diri apabila bertembung dengan perlakuan ini.
- Mendedah dan membiarkan diri dari semasa ke semasa kepada suatu sikap yang boleh menghapuskan rasa sombong dan meletakkan diri dalam keadaan yang sebenar.
- Perlu kepada pengawasan orang lain yang sentiasa berada di sampingnya.
- Muhasabah diri sepanjang masa sehingga ia berjaya mengenal pasti keaiban yang ada pada dirinya.
- Mengenal pasti akibat dan kesan yang timbul dari perlakuan penyakit ini.
- Memohon pertolongan Allah melalui perantaraan doa, pertolongan dan penyerahan diri kepadaNya.
- Perlu menekankan tentang tanggungjawab individu, tanpa mengambil kira keturunan dan asal usul.